Sunday, July 10, 2016

5 Penemuduga Berkongsi Sesi Temuduga ‘Mind Blowing’ Mereka Pernah Lalui dan Pengajaran di Sebaliknya

Nota: Ini merupakan write-up saya berkenaan kerjaya untuk SarawakYES!, sebuah inisiatif oleh AZAM bagi menggalakkan potensi anak-anak Sarawak dalam pembangunan karier. Artikel ini telah disunting dengan pembetulan terhadap ejaan dan tatabahasa. Artikel asal boleh ditemui di sini.

Sepanjang hujung minggu lepas, SarawakYES! telah berkesempatan mengumpul kisah-kisah yang berlaku di bilik temuduga untuk dijadikan panduan dan pengajaran kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan. Kisah – kisah ini telah dikongsikan bersama oleh pihak penemuduga dan kami di SarawakYES! berharap penulisan ini akan dimanfaatkan anda semua.


“Sijil beliau semuanya dibingkaikan dan dibawa masuk ke bilik temuduga”

*Eric, 30 tahun, Eksekutif Bahagian Sumber Manusia.

“Sudah menjadi satu kebiasaan untuk organisasi di mana saya bekerja mengadakan sesi temuduga setiap 4 bulan memandangkan ramai kakitangan yang berkerja secara separuh masa dan berhenti selepas 3-4 bulan (kebanyakannya pelajar kolej/universiti).



Dia bingkaikan semua sijil dia, biar betul!

Ada suatu ketika, kami menerima permohonan daripada seorang lepasan SPM dan berdasarkan resume yang diterima, beliau tampak layak untuk dipanggil temuduga. Jadi, pihak kami membuat keputusan untuk memanggil beliau. Pada hari tersebut, beliau kelihatan seperti calon-calon lain dan panel penemuduga merasakan tiada apa-apa yang luar biasa….. sehinggalah sijil-sijil beliau dikeluarkan.

Semuanya siap dibingkaikan! Suasana menjadi kekok sebentar, sebelum beliau bercerita segala pencapaian sewaktu di sekolah. Saya bukanlah hendak menjadi seorang yang prejudis, tetapi ini sangat aneh. Semua orang faham akan keperluan untuk menonjol sewaktu temuduga, tetapi tidaklah sehingga suasana menjadi kekok seperti ini. Saya lihat panel penemuduga lain sudah hilang minat. Akhir cerita, tiada tawaran kerja diberikan kepada beliau.”



“Beliau enggan berbahasa Inggeris”

*Marina, 42, Pegawai Pemasaran & Periklanan

“Saya telah menemuduga seorang graduan yang baharu saja menamatkan pengajian beliau 5 bulan sebelum itu. Elok saja saya nak menanyakan soalan, beliau awal-awal lagi memberitahu dia tak fasih berbahasa Inggeris dan sekiranya ditawarkan bekerja di sini, beliau tidak akan berbahasa Inggeris sama sekali!



Bahasa Inggeris? Tak mahu.

Saya terpaku. Saya tak pasti sama ada beliau benar-benar maksudkannya atau menguji saya. Dalam industri ini, penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap adalah sangat penting apabila melibatkan komunikasi dan operasi (apatah lagi jika bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangsa) dan sekiranya anda enggan … tiada siapa pun dapat bantu anda. Jadi ingatlah, Bahasa Inggeris itu penting. Berusahalah untuk menguasainya sebelum anda tamat pengajian dan anda akan dapati nasihat saya ini ada betulnya. Selamat berjaya.”


“Mengutuk bekas majikan di dalam temuduga bukanlah tindakan bijak”

*Roman, 33, Pengurus

“Jangan burukkan bekas majikan anda semasa ditemuduga, tidak sama sekali. Saya telah menemuduga seorang calon yang mengeji bekas majikan dengan bersungguh-sungguh. Rasanya, separuh daripada sesi itu dihabiskan dengan mengutuk. Adakah saya mengambil beliau bekerja? Tidak! Saya tak perlu meletakkan risiko diri saya dan syarikat diaibkan oleh beliau di temuduga lain (atau di atas talian, kerana beliau ada menyebut beliau menulis blog) selepas mengambil beliau kerja di sini.



Kamu ni biar betul nak mengumpat di sini…

Sekiranya kamu berhasrat untuk meninggalkan majikan kamu sekarang dan sertai orang lain, tidak perlu untuk memburukkan majikan anda kerana kami tak peduli pun tentang keburukan mereka. Kami menilai kamu dan pencapaian kamu. Kami nak tengok sama ada kamu layak dan menepati kriteria kami cari. Senang saja, datang temuduga, jual kehebatan diri kamu, tapi elakkan dari menceritakan keburukan orang lain.Be the nice guy, even if you have to pretend like one.”


“Beliau mengatakan portfolio yang kelam-kabut itu sebagai work in progress”

*Jefry, 40 tahun, Pengarah Kreatif

“Temuduga adalah proses penting untuk kami mengenali calon yang berpotensi. Oleh itu, kami mengharapkan calon datang bersedia segenap segi. Saya tidak gemar temuduga yang dilangsungkan kelam-kabut dan tidak terurus. Kalau berjalan lancar, semua pihak akan senang dan gembira.



Ye ke work in progress ni?

“Beberapa tahun lepas, saya telah menerima permohonan daripada seorang calon yang memohon jawatan penulis di organisasi ini. Pada hari temuduga, beliau tiba lewat hampir sejam. Ah, ini mengecewakan. Baiklah, saya beri lagi peluang. Temuduga berlalu dengan biasa-biasa sahaja. Kemudian saya meminta portfolio beliau untuk saya nilai.

Sekali lagi saya kecewa. Portfolio beliau caca-marba. Setiap kerja tidak diberikan penerangan yang baik. Kesalahan ejaan dan tatabahasa merata-rata. Apabila saya mengkritik dan menunjukkan kesilapan, beliau terus menjadi defensive dan meyakinkan saya yang portfolio beliau sebagai ‘work in progress’. Saya yakin beliau datang tidak bersedia dan sekadar bergantung kepada nasib. Saya jadi kasihan, lantas sesi temuduga bertukar menjadi sesi kaunseling untuk menasihati beliau untuk memandang temuduga sebagai sesuatu yang serius. Saya turut meninggalkan tip untuk mempertingkatkan portfolio beliau, kerana dalam industri kami (sebenarnya, dalam mana-mana industri sekali pun), portfolio adalah ‘golden ticket’ untuk diterima bekerja.


“Tidak memahami keperluan digariskan oleh penemuduga”

*Hasan, 36, Penulis Kanan

“Sebelum menghadiri temuduga, pastikan anda memahami kehendak yang diperlukan oleh panel penemuduga. Kegagalan memahami dan memenuhinya akan menyebabkan kekeliruan serta menyebabkan masa terbazir, seperti seorang calon yang pernah saya temuduga untuk jawatan penulis bahasa Melayu.

Sebelum ditemuduga, calon dihendaki untuk menjalani ujian bertulis. Apa yang mengejutkan kami semasa temuduga tersebut adalah kesemua jawapan adalah dalam Bahasa Inggeris, walhal ujian adalah dalam Bahasa Melayu. Tambahan lagi, jawatan yang dipohon adalah penulis Bahasa Melayu!

Apabila ditanya, beliau menjawab ini adalah cubaan ‘thinking outside of the box’ beliau. Saya tahu mungkin ini cubaan beliau untuk tampil kreatif, tapi sekiranya anda tidak dapat memenuhi arahan dan apa yang dipinta, minta maaf sahaja kerana kami tak boleh terima. Saya tamatkan sesi lebih awal daripada dijangkakan kerana beliau tidak dapat memenuhi apa yang kami cari. Amat sayang sekali.



Uh… okay… outside of the box kata kamu ye.
*Nama – nama penemuduga telah diubah bagi tujuan penulisan artikel ini.

Apakah yang patut saya lakukan selepas ditemuduga?

Nota: Ini merupakan write-up saya berkenaan kerjaya untuk SarawakYES!, sebuah inisiatif oleh AZAM bagi menggalakkan potensi anak-anak Sarawak dalam pembangunan karier. Artikel ini telah disunting dengan pembetulan terhadap ejaan dan tatabahasa. Artikel asal boleh ditemui di sini.

Baru sahaja melalui proses temuduga? Tahniah kerana berjaya sampai ke peringkat ini! Eh, tetapi apakah yang perlu saya lakukan selepas ini?Adakah memadai untuk saya menunggu sahaja jawapan daripada pihak penemuduga?Jawapannya: TIDAK. Masih ada yang boleh dilakukan untuk mencerahkan peluang anda.
Tinggalkan bilik temuduga dengan bergaya dengan harapan anda berjaya!
Kita sering terlupa jawatan yang dipinta mungkin turut dikejar oleh puluhan atau ratusan graduan. Alamak, jadi macam mana nak jadi outstanding daripada calon yang lain, tanya anda.
Usah hilang punca! Kalau anda berfikir begitu, ini bermaksud anda serius dalam memburu perkerjaan. Berita baiknya adalah proses mencari kerja tidak berakhir selepas temuduga tamat. Masih ada lagi perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan.
5 PERKARA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN SELEPAS TEMUDUGA
Berdesup pulang ke rumah dan tunggu saja keputusan?

1. “No duty is more urgent than that of returning thanks.”
Itulah pepatah dalam Bahasa Inggeris yang memberi maksud tiada perkara lain yang lebih penting dari mengucapkan terima kasih apabila diberi peluang.

Mereka yang mempunyai sikap rendah diri dan mesra akan sentiasa diingati. Hubungi dan ucapkan terima kasih kepada penemuduga dan bahagian sumber manusia mereka. Bukan membodek tetapi sebagai tanda berterima kasih atas kesudian mereka untuk memanggil anda untuk ditemuduga. Panggilan telefon, emel, surat, gunakan semua saluran yang ada. 

Majikan mengambil pekerja baru bukan semata-mata berdasarkan rekod kerja dan prestasi, tetapi juga menitikberatkan sikap dan kebolehan bersosial. Jadi, gunakan peluang ini untuk membuat mereka kagum dengan usaha anda walaupun sesudah temuduga. Mana tahu, kalau anda tidak berjaya kali ini, mereka mungkin tergerak hati untuk menghubungi anda di masa hadapan!
Helo? Saya Tommy. Terima kasih meluangkan masa menemuduga saya tadi.



2. Minta pendapat atau maklumbalas daripada penemuduga tentang portfolio anda


Sebenarnya ini bergantung kepada industri yang anda ceburi. Sekiranya temuduga anda memerlukan anda menunjukkan portfolio, pastikan anda guna peluang ini untuk mendapatkan nasihat, pendapat atau maklumbalas. Ini berguna kerana anda boleh memperbaikinya untuk kegunaan di masa depan. Jangan malu-malu untuk bertanya, kerana mereka lebih arif dalam bidang masing-masing dan, nasihat daripada profesional adalah percuma! Yang penting, sentiasa rendah diri dan akui yang anda masih banyak perlu diperbaiki.


Apabila majikan terpesona dengan kualiti portfolio anda.

3. Mohon untuk terus kekal berhubung
... dan ini bukan bermaksud di Whatsapp atau di Facebook… walaupun tiada siapa kata ia salah. Yang dimaksudkan di sini adalah kekalkan perhubungan secara profesional. Secara idealnya, di LinkedIn (kalau anda tiada akaun LinkedIn, mungkin sekarang adalah masanya!) sebagai contoh. Ini bukan sahaja mampu meluaskan jaringan profesional anda, malah anda mungkin akan kembali bertemu mereka di masa hadapan, sama ada dalam temuduga lain atau sebagai rakan sekerja! LinkedIn merupakan saluran yang sangat berguna untuk survival di dalam industri, jadi tak kira sama anda baru tamat belajar atau ingin bertukar kerja, LinkedIn merupakan ‘senjata’ utama anda! Buat yang tidak mengetahui, LinkedIn adalah seperti Facebook tetapi untuk tujuan profesional. Tanpa gosip, video kucing dan jemputan bermain Candy Crush.
Apabila jaringan profesional terjalin di LinkedIn.

4. Buat susulan selepas seminggu dua temuduga tamat.

Ini merupakan sambungan daripada tip pertama. Tidak salah untuk bertanya keputusan kepada mereka. Anda ingin tahu keputusan temuduga anda dan ini adalah normal. Ini juga penting untuk memberitahu mereka anda serius tentang jawatan dipohon. Anda tidak ingin buang masa dan sekurang-kurangnya jika tidak berjaya, anda boleh memikirkan langkah seterusnya. Jika tidak berjaya, tanyalah kepada mereka apakah yang anda perlu perbaiki di masa hadapan. Tetapi jangan pula menghubungi mereka setiap hari kerana ia menjengkelkan.
Penantian akhirnya membuahkan kejayaan!

5. Elakkan daripada bercakap atau komen tentang temuduga atau syarikat di rangkaian sosial

Ini penting! Di zaman serba canggih ini, majikan membuat pemeriksaan latar belakang calon di Internet sebelum menawarkan pekerjaan. Sekiranya anda mengatakan sesuatu yang kurang elok tentang mereka, anda mungkin menjejaskan peluang anda, apatah lagi jika anda sebenarnya melepasi temuduga dan mempunyai resume yang cemerlang. Majikan tidak mahu pekerja yang memburukkan syarikat, sudah tentulah mereka ingin elakkan daripada mempunyai calon yang yang serupa. Ingatlah, maklumat mengenai anda amat mudah didapati di Internet. Jadi, berfikir masak-masak sebelum meletakkan sebarang komen yang boleh menjejaskan peluang anda.


Gosip tentang temuduga tadi ke tu?

Sebagai rumusannya, untuk bersaing dengan calon-calon lain, kita perlu menjadi proaktif dalam mengejar jawatan yang diingini. Kekalkan hubungan yang baik secara berterusan dengan bakal majikan dan tunjukkan minat untuk menyertai organisasi tersebut walaupun selepas proses temuduga. Namun demikian, lakukan dengan berhati-hati supaya anda nampak profesional.
Semoga panduan ini akan membantu anda dalam mengejar karier impian anda!